adgroup

Shaklee Independent Distributor | ID: 891272 | Penghantaran Seluruh Malaysia

Shaklee Independent Distributor | ID: 891272 | Penghantaran Seluruh Malaysia

Sunday, 27 December 2015

10 Punca yang Boleh Menggagalkan Penyusuan Susu Ibu

Pasti ramai ibu-ibu yang berniat mahu menyusukan bayi sepenuhnya tetapi bila sampai waktunya banyak perkara-perkara yang menjadi penghalang untuk anda menjayakan penyusuaan yang ekslusif



Ini adalah beberapa faktor yang boleh menyebabkan anda gagal menyusukan bayi anda secara ekslusif


1. Susu tiada

Info yang dibaca mengatakan sebaiknya susukan bayi selepas dilahirkan. Tapi susu tak ada pun! Habis tu macam mana ni? Anak asyik menangis nak susu tapi setitik susu pun tak keluar lagi. Yang ada cuma beberapa titik cecair kuning. Nak bagi ke tak? Untuk pengetahuan cecair kuning di awal kelahiran bayi adalah kolostrum yang sangat bagus untuk antibodi bayi.


2. Tiada sokongan dari ahli keluarga dan rakan-rakan

Adakalanya ada ahli keluarga dan kawan-kawan yang datang melawat ibu bersalin akan menyuruh ibu 'top up' bayi dengan susu formula. Kononnya susu ibu makin lama makin kurang, nanti bayi tak kenyang dan asyik meragam. Apatah lagi bila ibu sudah kembali bekerja, susah hendak ditinggalkan di rumah pengasuh kalau tak pandai minum susu formula. 

Zaman serba canggih ni bermacam-macam pam yang terdapat dipasaran untuk ibu yang bekerjaya terus memberi penyusuan susu ibu pada bayi mereka.
Pokok pangkal nya hanya pada diri sendiri


3. Bagi anak air masak

Bagi yang baru bergelar ibu, tentu kurang pengalaman dan pengetahuan. Kadang kala nasihat daripada orang yang lebih tua untuk memberi bayi minum air masak kerana kononnya bayi cepat haus sebab itu asyik menangis sahaja mesti dipatuhi. Padahal susu ibu sendiri sudah mengandungi 80% kandungan air dan bayi berusia bawah enam bulan tak perlu air atau makanan lain selain susu ibu.


4. Salah info

Pernah tak berhadapan dengan situasi ditegur oleh ahli keluarga supaya jangan kerap sangat menyusukan bayi sebab nanti susu habis! (Ni memang kelakar). Bagi ibu yang tiada maklumat sudah tentu akan ikut nasihat tersebut. Hakikatnya susu ibu tak pernah habis bahkan lagi kerap menyusukan anak lagi banyak susu terhasil.

5. Tunggu bengkak baru pam

Siapa selalu buat macam ini? Alasannya bila pam nanti baru banyak susu yang diperoleh. Sebenarnya salah cara tersebut. Jangan tunggu sampai payudara bengkak baru hendak pam kerana anda sebenarnya mencari nahas untuk membuatkan susu makin berkurangan. Ini kerana bila bengkak, ibu akan demam, seterusnya jadi mastitis atau terkena jangkitan kuman. Sebetulnya pam setiap dua hingga tiga jam sekali walaupun payudara anda ketika itu 'lembik' dan rasa kosong tanpa susu.

6. Cuci puting payudara

Puting payudara perlu dicuci setiap kali lepas menyusukan anak. Penat juga kalau kena ikut 'nasihat' tersebut. Buatnya ketika itu ibu menyusukan anak dalam kereta bagaimana hendak cuci puting pula? Jangan silap info ya ibu-ibu. Ia sama sekali tidak benar. Puting payudara ibu tak perlu dicuci kerana ia mempunyai sebum yang mengeluarkan agen antibakteria yang dapat melindungi bayi yang menghisap susu ibu daripada sebarang kekotoran.

7. Kuantiti susu tak sama bila pam

Jangan jadikan ini sebagai punca ibu cepat putus asa. Sebenarnya ia memang perkara normal kalau kadang-kadang pam dapat sikit dan kadang kala dapat banyak. Tak semestinya setiap sesi mengepam susu, ibu akan dapat dalam kuantiti yang sama. Yang penting, lagi kerap kita pam, lagi banyak susu akan dihasilkan.

8. Perbandingan yang negatif

Ini berlaku pada ibu-ibu menyusu yang berkerjaya. Biasanya ibu-ibu menyusu akan bersama mengepam susu ketika di pejabat. Ada buruk baiknya perkara ini. Baiknya mungkin masing-masing akan saling bertukar info dan pengalaman tentang penyusuan. Tetapi yang buruknya bila ada yang suka membandingkan kuantiti dan rupa susu setiap ibu yang mengepam. Ini boleh memberi tekanan kepada ibu yang mendapat susu perahan yang sedikit atau yang susunya agak cair pada hari tersebut.

9. Stok susu makin berkurangan

Bila ibu menyusu mengalami situasi ini, ia memang boleh buat ibu tak senang duduk. Walaupun sudah pam mengikut waktu, susu yang keluar masih tidak cukup untuk menampung keperluan anak. Jangan putus asa! Bila berhadapan dengan situasi ini, ibu perlu kuat semangat dan terus gigih berusaha. Selain itu jangan lupa berdoa kepada Tuhan agar mencukupkan rezeki anak dengan susu ibu.


10. Bila ibu mengalami stres

Stres memang akan mengganggu penghasilan susu ibu. Kalau boleh, ibu menyusu perlu elakkan daripada mengalami stres. Kalau stres juga, cuba pura-pura tidak stres dan gembirakan hati dengan pelbagai cara.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...